KUALA LUMPUR - Sikap pengguna jalan raya di negara ini yang tidak sabar, kelam-kabut, suka memandu laju dan menukar lorong dengan sesuka hati, perlu diubah untuk mengurangkan kemalangan.
Anggota Majlis Keselamatan Jalan Raya Kebangsaan, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kempen keselamatan jalan raya memang perlu diadakan, tetapi ia tidak akan berhasil selagi pengguna tidak mematuhi perkara asas berkaitan keselamatan dan sikap berhemah serta tidak mengubah sikap angkuh dan tidak bertanggungjawab masing-masing ketika di jalan raya.
"Mereka sedar tentang bahaya di jalan raya, tapi reaksi mereka berubah apabila mereka memandu, dan membahayakan nyawa sendiri serta nyawa orang lain apabila mereka menganggap jalan dan lebuh raya sebagai trek perlumbaan Formula 1," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, Malaysia mengalami kerugian lebih kurang RM9 bilion setahun akibat kemalangan jalan raya melalui perbelanjaan untuk membaiki kerosakan, membayar insurans dan bil perubatan.
"Kajian menunjukkan lebih separuh daripada kemalangan jalan raya melibatkan mereka yang berusia antara 18 dan 40 tahun, yang merupakan aset penting negara," katanya. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan