Jumaat, 9 Disember 2011

Kod genetik sawit ke-2 dilancar


Epigenom hasil bahan tenaman klonal tambah hasil minyak sawit 

KUALA LUMPUR: MPOB melancarkan Kod genetik sawit ke-2 (epigenom) bagi menghasilkan bahan tanaman klonal yang berupaya meningkatkan hasil minyak sawit untuk kegunaan industri sawit pada masa akan datang.


Pelancaran epigenom itu disempurnakan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok sempena majlis perasmian Kongres Minyak Sawit Antarabangsa MPOB (PIPOC 2011) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru baru ini.
Tan Sri Bernard Dompok berkata, pengetahuan mengenai epigenom sawit adalah penting kerana ia merupakan asas kepada pembangunan penanda bio untuk menyaring bahan tanaman dengan variasi somaklonal atau ketaknormalan dalam proses pengklonan. 

“Walaupun tanaman klonal menunjukkan potensi pengeluaran yang memberangsangkan, namun penggunaannya sebagai bahan tanaman masih kurang digalakkan disebabkan oleh penghasilan tandan ‘mantle’ atau tidak normal.” 
“Tandan buah sawit yang mengalami ketaknormalan yang serius biasanya tidak menjadi dan akan luruh, menyebabkan kehilangan hasil minyak sawit,” katanya. 

Untuk tujuan itu, MPOB bersama Orion Genomics dari Amerika Syarikat melakukan kerjasama melalui teknologi gabungan maklumat epigenom sawit serta penggunaan mikroatur keseluruhan genom sawit bagi mengenalpasti beberapa ciri-ciri penanda yang berpotensi. 
“Penanda-penanda ini sedang menjalani ujian pengesahan sebelum diajukan kepada pihak industri untuk ujian lanjutan pada skala yang lebih besar.” 

“Penanda-penanda bio yang berjaya menjalani proses pengesahan akan digunakan untuk menyaring bahan tanaman klonal pada peringkat pra-nurseri bagi mengenalpasti pokok sawit yang normal dan diluluskan untuk penanaman,” katanya. 

Beliau berkata, MPOB akan memastikan kawalan kualiti tanaman klonal dalam bentuk penanda-penanda bio dilaksanakan sepenuhnya bagi memberi keyakinan kepada industri dan penanam sawit terhadap pengunaan bahan tanaman klonal. 
Tan Sri Bernard Dompok berkata, kerajaan melalui MPOB akan terus meningkatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan bagi memastikan industri minyak sawit dibangunkan secara sihat dan mampan. 

Bagi program penyelidikan genom, MPOB, pada tahun 2009 telah mengumumkan kejayaan penjujukan tiga genom daripada kedua-dua spesis sawit iaitu Elaies guineensis dan Elaeis oleifera. 

Sejak itu, program genom sawit telah menambahbaik jujukan genomnya (dikenali sebagai kod genetik utama atau pertama) dan usaha dipertingkatkan bagi mengenalpasti gen-gen penting bagi menghasilkan bahan tanaman yang produktif serta mempunyai ciri komersial. 

Salah satu cara untuk menghasilkan tanaman yang berkualiti adalah dengan kaedah pengklonan. Bahan tanaman klon telah menunjukkan penghasilan yang setaraf dengan induknya dan jikalau ditanam secara besaran peningkatan penghasilan pengeluaran minyak dapat dinikmati. 

“Ini adalah disebabkan oleh keseragaman tanaman klon berbanding dengan bahan tanaman yang berdasarkan benih.” 

“Kerajaan melalui dua Projek Permulaan (EPP) di bawah Bidang Ekonomi Utama Nasional (NKEA) akan menumpukan pada peningkatan produktiviti pekebun kecil dan penekanan pada program penyelidikan dan pembangunan bagi menghasilkan bahan tanaman yang bermutu tinggi,” katanya. 



sumber: berita sawit.



Kod genetik sawit ke-2 dilancar
Oleh Meilina Ong Abdullah
meilina@mpob.gov.my
2011/12/03

Tiada ulasan:

Label 'Tanpa Minyak Sawit' tidak adil - Bisnes - Sinar Harian

Label 'Tanpa Minyak Sawit' tidak adil - Bisnes - Sinar Harian