Khamis, 15 Disember 2011

MPOP, IOPRI anjur seminar atasi masalah perosak


KUALA LUMPUR: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bersama Institut Penyelidikan Sawit Indonesia (IOPRI) menganjurkan Seminar Antarabangsa MPOB-IOPRI 2011 Ke-3 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru baru ini, bagi membincang masalah perosak dan penyakit sawit. 

Bertemakan ‘Integrated Oil Palm Pests and Diseases Management’, seminar dihadiri 287 peserta daripada industri sawit, penyelidik, universiti dan jabatan kerajaan berkaitan pertanian.

Seminar berkenaan adalah hasil Kerjasama Dua Hala di antara Malaysia-Indonesia di bawah Sub Working Group on Palm Oil (SWGPO) yang diadakan seiring dengan Kongres Minyak Sawit Antarabangsa MPOB (PIPOC 2011) pada 15 hingga 17 November lalu.

Tujuan seminar bagi meningkatkan kesedaran bahaya perosak dan penyakit sawit serta menyediakan platform bagi mengumpul hasil penyelidikan terkini berkaitan perosak dan penyakit sawit. 

Di samping itu, seminar juga membincang peranan dan langkah perlu bagi mengeksploitasi dan mencari pendekatan pengurusan kawalan bersepadu bagi pengawalan dan pencegahan perosak dan penyakit sawit. 

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Choo Yuen May menyempurnakan perasmian seminar itu manakala penutupnya dilakukan Pengarah IOPRI, Dr Witjaksana Darmosarkoro. 

Datuk Dr Choo ketika berucap merasmikan seminar menggesa penyelidik terus berusaha keras melakukan penyelidikan bagi mencari penemuan baru mengatasi ancaman perosak dan penyakit sawit serta menjadikan ia keutamaan dalam penyelidikan.
 
Kerjasama antara MPOB, IOPRI dan pusat penyelidikan negara lain juga diharap dapat melakukan penyelidikan bagi mencari inovasi baru dan penawar kepada masalah perosak dan penyakit sawit. 

Pada seminar itu, enam pakar dalam bidang perosak dan penyakit sawit membentangkan hasil kajian terkini dan berkongsi pengalaman mengenai perosak seperti ulat bungkus (bagworms), kumbang badak (Oryctes), ulat beluncas (Nettle caterpillars), tikus dan anai-anai. Penyelidikan penyakit seperti penyakit reput pangkal batang (RPB) oleh kulat Ganoderma, penyakit Fusarium Wilt, penyakit Bud Rot dan penyakit Red Ring turut dibincangkan. 

Seminar Antarabangsa MPOB-IOPRI Ke-3 tahun ini juga turut disertai 20 pembentang poster daripada pelbagai negara yang turut berkongsi hasil kajian terkini dalam kawalan penyakit dan perosak sawit.

sumber:
Berita sawit

Tiada ulasan:

Label 'Tanpa Minyak Sawit' tidak adil - Bisnes - Sinar Harian

Label 'Tanpa Minyak Sawit' tidak adil - Bisnes - Sinar Harian