PENGUNJUNG boleh menikmati keindahan Anggerik Selipar di Taman Orkid di Taman Negara Lagenda Ledang, Muar.
LEDANG: Anggerik selipar yang selama ini hanya hidup subur di puncak Gunung Ledang, kini menjadi tarikan terbaru, apabila buat pertama kalinya berjaya ditanam hidup dalam kawasan taman konservasi anggerik terletak di kaki gunung terbabit.
Penyelia Taman Konservasi Anggerik Gunung Ledang, Khairul Faizi Mohd Zain, berkata taman yang dibuka sejak 2006 itu, setakat ini berhasil menempatkan 63 spesies anggerik yang didapati dari keseluruhan Taman Negara Gunung Ledang.
Selain itu, katanya, anggerik selipar berkenaan spesies paling sukar ditemui, kerana kebiasaannya hanya hidup menumpang pada pokok besar di kawasan suhu agak sejuk dan pada masa sama semakin pupus.
“Bagaimanapun di sini, kami berjaya menanam tumbuhan ini atas tanah, dan agak mengejutkan kerana ia mampu hidup walaupun kawasan ini agak panas.
“Anggerik selipar yang ditanam di sini, asalnya diselamatkan dari sebatang pokok tumbang di kawasan puncak Gunung Ledang, kerana kami tidak boleh mengambil sebarang tumbuhan daripada habitat asalnya di sini kecuali jika ia terancam,” katanya.
Katanya, tumbuhan itu bukan saja unik, tetapi didakwa mempunyai nilai perubatan untuk mengubati pelbagai jenis penyakit.
Khairul Faizi berkata, taman itu juga menempatkan orkid Bulbophyllum Elevatopunctatum yang ditemui pada 2007 di Gunung Ledang, dan kini ditanam untuk penyelidikan serta konservasi.
“Kebanyakan anggerik liar susah ditanam di kawasan bukan habitat asalnya, dan hanya berbunga mengikut musim. Selain itu, kami turut berjaya menanam anggerik harimau iaitu spesies anggerik besar yang biasanya menumpang hidup atas pokok,” katanya.
“Semua anggerik itu diletakkan label untuk tujuan penyelidikan dan rekod serta akan terus ditempatkan di situ dengan penjagaan terbaik, ” katanya.
INFO
Anggerik Selipar
- Boleh membesar hingga 360 mm tinggi.
- Ditemui oleh Hugh Cumming pada 1840.
- Hanya mengeluarkan satu atau dua bunga pada satu masa.
- Kelopak berwarna hijau coklat di pangkal manakala bahagian bibir kelopaknya berwarna coklat gelap.
- Ada kira-kira 100 spesies Anggerik Selipar.
- Ia hidup subur di kawasan lembap, teduh di tanah tinggi antara 700 hingga 1,200 meter dari paras laut.
- Berbunga antara Februari hingga April dan mampu bertahan antara empat hingga lapan minggu.
- Mendapat permintaan tinggi di kalangan peminat anggerik liar.
sumber~http://www.bharian.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan