Selasa, 14 Februari 2012

Sejarah tercipta


FATEHAH



RATU pecut negara, Fatehah Mustapa mencipta sejarah dalam sukan lumba basikal tanah air.

Dia muncul pelumba wanita pertama memenangi pingat emas dalam acara keirin pada Kejuaraan Lumba Basikal Asia (ACC) 2012 yang berakhir di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras semalam.
Sorakan padu penyokong Malaysia yang memenuhi velodrom tersebut berjaya menyuntik semangat pelumba kelahiran Hulu Terengganu itu untuk melakukan henjutan bertenaga pada 50 meter terakhir sekali gus mengejutkan pelumba pilihan, Lee Wai Sze dari Hong Kong.
Fatehah, 23, memenangi emas acara tersebut dengan catatan masa 11.672 saat menewaskan pelumba China, Xu Yulei di tempat kedua dan Wai Sze di tempat ketiga.
Pelumba yang berpangkalan di Melbourne, Australia itu juga menyumbang pingat perak dalam acara pecut wanita elit dan gangsa dalam 500m ujian masa wanita elit.
“Sudah tentu saya gembira dengan kejayaan ini dan berasa sangat puas kerana berjaya menebus kehampaan dalam acara pecut dua hari lepas,” kata Fatehah semalam.
"Saya hadiahkan pingat emas ini kepada ibu dan bapa saya serta John (Beasley, jurulatih) yang banyak memberi tunjuk ajar dan memberi bimbingan kepada saya.
“Emas ini juga ditujukan kepada semua penyokong Malaysia yang hadir di velodrom ini kerana sorakan dan sokongan padu mereka telah banyak menyuntik semangat saya,” katanya.
Menurut Fatehah, strateginya untuk berada di belakang pelumba Hong Kong, Wai Sze nyata berhasil kerana pelumba yang mendahului perlumbaan tersebut semalam, Xu Yulei lebih memberi tumpuan kepada Wai Sze dan memberi kelebihan kepadanya untuk menyerang secara mengejut.
"Sebelum perlumbaan, John ada beri arahan supaya mengekori belakang Wai Sze kerana dia paling kuat dalam acara ini dan ternyata strategi itu berhasil kerana pelumba China terpaksa memberi tumpuan kepada pelumba Hong Kong itu.
“Jadi, ia satu kelebihan buat saya untuk melakukan serangan mengejut dan terus membuat henjutan sekuat hati sehingga ke garisan penamat,” kata Fatehah.
Fatehah kini hampir pasti beraksi di pentas Sukan Olimpik 2012 London kerana selepas kejayaan ini menyaksikan dia berada di tempat kedua dalam pungutan pelumba Asia di belakang pelumba China.
Selepas ini dia akan menyertai siri Trek Piala Dunia Klasik di London, 17 hingga 18 Februari ini bagi mengumpul mata ke Olimpik.
sumber~kosmo

Tiada ulasan:

Label 'Tanpa Minyak Sawit' tidak adil - Bisnes - Sinar Harian

Label 'Tanpa Minyak Sawit' tidak adil - Bisnes - Sinar Harian