KUALA BERANG – Pesta Mengemping anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Daerah Hulu Terengganu mencatat sejarah apabila disenaraikan dalam The Malaysia Book of Records (MBR) kerana berjaya menarik penyertaan seramai 650 peserta selain membabitkan 122 JKKK.
Pengarah Muzium Negeri Terengganu, Yusof Abdullah berkata, beliau berasa gembira dan menyambut baik pesta yang diadakan kerana dapat mengembalikan warisan serta memperkenalkan tradisi rakyat di daerah Hulu Terengganu.
“Pesta ini harus dikekalkan kerana golongan muda pada hari ini jarang terdedah dengan acara mengemping kerana ia hanya dilakukan golongan veteran.
“Jika boleh aktiviti seperti ini dapat diteruskan dan dijadikan acara tahunan kerana dapat mengekalkan warisan Terengganu serta menarik lebih ramai pelancong datang ke sini terutama pada musim menuai padi,” katanya di pekarangan Padang Astaka semalam.
Menurutnya, acara itu juga dapat mengeratkan perhubungan masyarakat sama ada golongan muda atau tua dalam usaha mengembalikan tradisi serta aset tradisional supaya tidak luput ditelan zaman.
~sinarharian~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan