Isnin, 16 April 2012

Akademi Badminton dibina di Pulau Serindit, Tasik Kenyir

DUNGUN  - Sebuah akademi latihan badminton swasta akan dibina di Pulau Serindit dekat Tasik Kenyir dengan pelaburan RM545 juta yang bakal dibangunkan oleh bekas jaguh badminton negara, Soo Beng Kiang.


Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata kerajaan negeri telah meluluskan permohonan Beng Kiang yang berhasrat mewujudkan akademi itu sebagai pusat latihan badminton swasta terunggul negara ini bagi memartabatkan kembali arena badminton negara.

"Kerajaan negeri pada dasarnya bersetuju dengan cadangan untuk memajukan pulau seluas 48.576 hektar sebagai tempat untuk melatih pelapis badminton negara.

"Selain badminton, akademi itu juga akan mengendalikan latihan untuk melatih pemain tenis dan skuasy, sekali gus muncul sebagai tempat latihan yang canggih di Tasik Kenyir," katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan kakitangan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di Bandar Al-Muktafibillah Shah di sini, hari ini.

Pembinaan akademi badminton itu dijangka bermula sebelum pertengahan tahun ini dan dijangka siap antara tiga hingga lima tahun lagi dengan pembiayaan pinjaman sepenuhnya oleh Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Berhad (SME Bank), sebuah agensi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kepada Beng Kiang.

Beng Kiang pernah beraksi pada temasya sukan Olimpik 1992 di Barcelona, Sepanyol dan 1996 di Atlanta, Amerika Syarikat.

Malah beliau pernah menjadi regu terbaik negara bersama Cheah Soon Kit setelah menewaskan lawan mereka Indonesia dalam Piala Thomas 1992 di Stadium Negara, Kuala Lumpur dan kini bergelar ahli perniagaan dengan memiliki syarikat pelancongan sendiri.

Apabila siap kelak, akademi itu bakal dipenuhi ramai bakat baru yang ingin menceburkan diri dalam sukan badminton dengan lebih serius seterusnya diharapkan mampu mengurangkan masalah ketandusan pemain badminton negara kelak.

Ahmad berkata kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang komited untuk melabur di Tasik Kenyir, selaras dengan hasrat menjadikan ia lokasi percutian dan zon bebas cukai terbaru di Malaysia.- Bernama

Tiada ulasan:

Label 'Tanpa Minyak Sawit' tidak adil - Bisnes - Sinar Harian

Label 'Tanpa Minyak Sawit' tidak adil - Bisnes - Sinar Harian