Selasa, 28 Februari 2012

MTUC tutup akaun Maybank 'bela' Nube


SUBANG JAYA - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengambil keputusan menutup akaun badan induk pekerja itu di Maybank sebagai tanda protes terhadap bank badan terbesar negara dalam soal menjaga kebajikan pekerja.

Langkah itu diambil ekoran rasa tidak puas hati terhadap pendirian Maybank dalam isu penubuhan kesatuan dalaman di bank itu bagi mewakili pekerja kategori perkeranian selain gagal memenuhi tuntutan-tuntutan dibawa oleh Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (Nube).

Presiden MTUC, Khalid Atan berkata, wang simpanan badan induk kesatuan sekerja itu yang disimpan di Maybank sejak 15 tahun lalu akan dipindahkan ke bank lain.

"Kita akan menutup akaun di Maybank. Jumlah wang simpanan kesatuan ini berjumlah RM3.5 juta. Kesemua wang itu akan dipindahkan dari Maybank ke bank yang lebih mesra pekerjanya.

"Kita juga telah menyimpan wang kesatuan di Maybank selama 15 tahun. Jadi, selepas sidang media ini, kita akan keluarkan duit di (cawangan) Maybank di Taipan (Subang Jaya)," katanya pada sidang media di Wisma MTUC di sini hari ini.

Sebelum ini MTUC dan Nube, salah satu gabungannya, mendakwa Kementerian Sumber Manusia meluluskan kesatuan dalaman di organisasi yang sudah pun ada kesatuan kebangsaan.
Khalid berkata, ia merujuk kes kepada pertikaian antara Nube dan Maybank.

"Seolah-olah ada usaha di pihak Kementerian Sumber Manusia mahu memusnahkan kewujudan kesatuan-kesatuan sedia. Sepatutnya Menteri Sumber Manusia boleh campur tangan dalam isu ini meskipun isu Nube sudah dibawa ke mahkamah.

"Walaupun ada kuasa, Menteri Sumber Manusia tidak membantu menyelesaikan isu ini. Jadi, kesemua perkara ini, kami merasakan Menteri Sumber Manusia tidak serius untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan hak pekerja," kata Khalid.

Sebelum ini juga, MTUC membuat ketetapan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S. Subarmaniam ekoran isu berkaitan kesatuan sekerja dan pindaan Akta Kerja yang diluluskan Parlimen tahun lalu.

Semalam, MTUC menyerahkan surat kepada Najib bagi mendapatkan kerjasama beliau dan campur tangan menyelesaikan perkara-perkara berbangkit dengan segera agar ia tidak memburukkan kepentingan rakyat khususnya pekerja negara ini.

Justeru, Khalid juga berkata, beliau berharap agar Najib dapat memanggil semua kesatuan termasuk MTUC, Nube dan Maybank bagi mendengar segala permasalahan kesatuan itu.

"Kami harap Perdana Menteri boleh panggil MTUC, Nube dan Maybank dan boleh dengar rintihan yang berlaku dalam kesatuan ini sendiri kerana kami dapati Menteri Sumber Manusia tidak serius untuk tangani masalah yang bersabit dengan kaum pekerja dan menganggap perkara ini perkara remeh," katanya.

Tiada ulasan:

Label 'Tanpa Minyak Sawit' tidak adil - Bisnes - Sinar Harian

Label 'Tanpa Minyak Sawit' tidak adil - Bisnes - Sinar Harian