KUALA LUMPUR – Kolej Felcra yang akan dibina di Changkat Lada, Seberang Perak mulai tahun depan bakal menumpu kepada bidang pertanian, perladangan dan keusahawanan, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Mohd Shafie berkata, beliau mahu melihat arah perjalanan kolej itu berbeza dengan universiti tempatan lain dan yang paling penting ia dibuat berdasarkan kepentingan Felcra.
"Kalau ini dapat dibuat, saya yakin ia akan memberi nilai tambah kepada Felcra. Kerajaan mahu melihat hala tuju Felcra menjadi lebih mantap dan telah menambah bajet kepada Felcra daripada RM124 juta tahun ini kepada RM244 juta untuk 2013,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengurusan dan Kakitangan Felcra Berhad bersama Menteri hari ini.
Kandungan pembelajaran kolej ini akan memberi kelebihan kepada masyarakat perladangan dan pertanian kerana bidang-bidang ini masih lagi kurang dari segi kepakarannya berbanding tenaga pakar dalam bidang industri, katanya.
Sementara itu Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dalam ucapannya berkata, kolej itu, yang akan dibina di kawasan seluas kira-kira 60 hektar, adalah pelaburan jangka panjang ke arah membentuk modal insan dalam kalangan anak-anak kelahiran Felcra. – BERNAMA
http://www.kosmo.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan