Rabu, 7 Mac 2012

Kisah warga emas pembuat atap


Kisah warga emas pembuat atap
MARANG - Lain padang lain belalang, lain orang lain pula kemahirannya. Manusia sememangnya mempunyai pelbagai minat serta kemahiran, lebih-lebih lagi bagi mereka yang agak berusia dan tinggal di kampung agak terpencil.

Di Kampung Jenang di sini, terdapat satu kawasan khas yang dibina bagi menempatkan sekumpulan warga emas pembuat atap daripada nipah dan kemahiran yang dimiliki mereka bukan calang-calang kerana sukar untuk ditandingi generasi muda.

Salah seorang pembuat atap nipah terbabit, Wan Teh Wan Embong, 67, berkata, di kampung itu terdapat ramai pembuat atap daun nipah kerana pokok tersebut banyak terdapat di kawasan sekitarnya terutama di sepanjang Sungai Marang di sini.

Menurutnya, dia melakukan pekerjaan itu sejak remaja kerana permintaan terhadap atap daun nipah masih tinggi berikutan masih ada kedai, tempat rehat malah rumah di negeri ini yang masih menggunakan bumbung diperbuat daripada atap daun nipah.

“Sebanyak 50 keping atap dapat disiapkan dalam tempoh sehari bergantung pada permintaan kerana kerja membuatnya perlu dilakukan dengan teliti. Setiap keping dijual dengan harga RM1.00 dan pendapatan pula bergantung pada tempahan.

“Apa yang kami bangga, walaupun terdapat pelbagai jenis atap moden tetapi sambutan orang ramai masih kekal menggalakkan sehingga kini,” katanya yang mengusahakan pembuatan atap daun nipah bersama suaminya, Mansor Che Embong, 73.

Wan Teh dan suaminya, Mansor adalah antara empat warga emas paling aktif membuat atap daun nipah dan mereka ditempatkan di empat buah bangsal unik di kampung itu bagi memudahkan pelancong melihat aktiviti itu dijalankan secara lebih dekat.

Malah, empat warga emas terbabit bukan sahaja mampu menghasilkan atap daun nipah sehingga 1500 keping setiap seorang dalam tempoh sebulan tetapi pelancong juga memberi mereka ‘saguhati’ selepas merakam gambar mereka di bangsal unik itu.

Tiada ulasan:

Label 'Tanpa Minyak Sawit' tidak adil - Bisnes - Sinar Harian

Label 'Tanpa Minyak Sawit' tidak adil - Bisnes - Sinar Harian