KUALA LUMPUR: Pekerja asing tidak tertakluk kepada perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kerana mereka dilindungi di bawah Akta Pampasan Pekerja 1953, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata, para pekerja asing di negara ini boleh membuat caruman sebanyak RM72 setahun di mana-mana 28 syarikat insurans yang dilantik oleh kementerian.
"Caruman ini meliputi kemalangan maut, hilang upaya dan hilang upaya kekal," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Saifudin Nasution Ismail (PKR-Machang) pada sesi soal jawab di Parlimen di sini.
Maznah berkata, kerajaan amat mengambil berat keselamatan pekerja asing di negara ini dan akan mengambil tindakan ke atas majikan yang gagal melaporkan kemalangan atau gagal mempraktikkan amalan keselamatan kesihatan dan kebajikan pekerja mereka.
Katanya, piawaian antarabangsa Malaysia adalah sama dengan piawaian di peringkat antarabangsa malah akta dan peraturan mengenai keselamatan pekerjaan negara juga diiktiraf oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan